Thursday, September 30, 2010

Gurindam Suami Isteri

Bila Isteri “Mengamuk”
Kekadang isteri mengamuk
Dengan ombak prasangka dan lautan cemburu
Apa bukti setiamu suami?
Atau apakah kau sedang berkira-kira
hendak “mendua”, “mentiga” dan “mengempatkan”ku?
Kekadang disergahnya suami
Ketika keringat masih membasah
Baru melangkah masuk pintu rumah
Ketika itu muhasabahlah diri
Mungkin suami berdosa dengan Tuhan,
atau bersalah dengan insan
Mungkin banyak penzaliman dan penganiayaan yang telah dilakukan
Lalu datang “serangan” itu sebagai peringatan


Suami,
Hadapkanlah diri ke cermin hati
Kaji dirimu satu persatu
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa, bertaubatlah.
Jangan berkira-kira hendak “berdua”
kalau yang satu itu pun tak mampu dijaga
Jangan kemampuan harta dan fizikal sahaja diperhitungkan…
Tetapi mampukah meratakan keadilan
memimpin penuh kasih sayang?

Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
Nasihatkanlah dia baik-baik
Ingatlah mestika kata dalam kitab-kitab tua
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayyub.
Atau ingatlah pesan Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami
yang dileteri isteri:

“Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri
telah banyak membantu kita
Dia yang menyelamatkan kita
daripada amukan nafsu
Dia yang membantu menjaga anak-anak kita
Dia yang membantu menjaga
makan minum kita
Dia yang mencuci kain-baju kita
Dia yang membantu membersihkan
rumah kita…


Lalu apa salahnya kita bersabar dengan kerenah mereka?”
Taburkanlah segenggam salji
pada secubit api
Insya-Allah,
cinta itu akan semarak kembali!

Panduan rumahtangga bahagia


SELAMATKAN DIA DARI NERAKA!
“Jika bersedekah, niatkan atas nama dan bagi pihak isterimu. Bantulah mereka dengan pahala sedekah kerana ramai para isteri yang akan menjadi penghuni neraka!”

Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ustaz sewaktu memberi kuliah di sebuah masjid di Putrajaya baru-baru ini. Selepas itu beliau terus membacakan hadis yang menjadi sandaran hujahnya itu dengan begitu lancar dan fasih.
Pada hari esoknya, saya menyemak hadis itu dengan bantuan seseorang yang sangat saya hormati kepakarannya. Beliau dengan segera memberikan nombor rujukan hadis itu dan sumbernya.

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. keluar pada Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri menuju ke tempat solat dan melalui sekumpulan wanita. Beliau bersabda: ‘Wahai kaum wanita bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.’

“Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab: ‘Kalian banyak melaknat dan durhaka terhadap suami. Dan tidaklah aku menyaksikan orang yang memiliki kekurangan akal dan agama yang dapat menghilangkan akal kaum lelaki yang setia daripada salah seorang antara kalian.’

“Mereka bertanya lagi: ‘Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?’

“Baginda menjawab: ‘Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan separuh daripada kesaksian seorang lelaki?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata lagi: ‘Bukankah apabila wanita mengalami haid maka dia tidak melakukan solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata: ‘Itulah (bukti) kekurangan agamanya.’” (Riwayat al-Bukhari no. 298)

Oleh sebab itu, setiap suami yang mencintai isterinya pasti berasa bimbang dengan amaran dan peringatan daripada hadis ini. Betapa tidak, tegakah kita melihat isteri yang tersayang terhumban ke dalam neraka hanya kerana lidahnya yang memaki hamun dan hatinya yang tidak bersyukur? Cakap suami dilawannya, dibentak dengan suara yang tinggi. Mulutnya begitu berbisa, tajam dan menyakitkan.

Isteri yang sedemikian perlukan bantuan. Dia sedang “sakit”. Tetapi bukan mudah membantu orang sakit yang sentiasa berasa dirinya benar dan sihat. Silap pendekatan, dia jadi semakin menyinga. Isteri begini terlupa bahawa selagi suami tidak menyuruh kepada yang haram dia wajib taat. Dia terlupa membesarkan pemberian suami yang kecil. Dia sudah tidak ingatkan lagi bahawa jalannya menuju ke syurga adalah melalui pintu gerbang ketaatannya kepada suami. Malu, taat, setia dan khidmatnya hanya untuk manusia bernama suami.





Kepenatan menguruskan rumah tangga bukan alasan untuk meninggalkan perkara-perkara asas yang menjadi teras kerukunan rumah tangga. Begitu juga jika dilihatnya ada kelemahan dan kekurangan pada diri suami… Itu tidak boleh dijadikan sebab untuk melawan dan memberontak. Selagi tidak menyalahi aqidah dan syariat, maka selagi itulah isteri wajib patuh.

Belajarlah daripada Asiyah isteri kepada Firaun laknatullah. Walaupun suaminya sejahat-jahat manusia tetapi dia masih mampu menjadi isteri yang solehah hasil ketaatan dan kebaikan yang dicurahkan kepada suaminya. Kecuali menyembah tuhan selain Allah, itu sahaja yang tidak dituruti oleh Asiyah. Segala suruhan Firaun yang selain itu dilaksanakannya dengan sepenuh hati. Ertinya, beliau terus melaksanakan perintah yang baik walaupun datangnya daripada seorang yang jahat.

Para isteri harus sedar bahawa mereka tidaklah sebaik Asiyah dan suami mereka tidaklah sejahat Firaun. Hanya kadangkala suami terlupa, sedikit berang kerana keletihan, menjadi penyengap kerana ada sesuatu yang dirisaukan, tidak senyum kerana masalah di luar rumah, maka si isteri jadi pemarah, pendendam dan peleter yang tidak mengenal maaf.

Lunak Berbahasa
Ingatlah bahasa yang baik datang dari orang yang baik. Tetapi jika bahasa kasar, kesat dan kotor itu petanda jiwa yang kotor. Bahasa dan kata sangat besar kesannya dalam hidup berumah tangga. Diceritakan dalam kitab-kitab tradisional bahawa bahasa si isteri apabila berkomunikasi dengan suaminya hendaklah menggunakan bahasa yang baik. Masih ingat apa pesanan Allah kepada Nabi Musa a.s. ketika baginda diperintahkan bertemu dengan firaun?

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berkata-katalah kepadanya (firaun) dengan lembut dan baik. Semoga dia mendapat peringatan.” (Surah Taha 20: 44)
Hanya dengan bahasa yang lembut, intonasi yang lunak dan adab yang sopan, hati suami akan “cair” dan kasih. Sebaliknya, kata-kata yang kasar dan intonasi yang tinggi akan ditolak secara terang-terangan atau secara diam-diam walaupun isinya kebenaran dan kebaikan.

Allah mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu kasar dan keras nescaya orang akan lari dari kamu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)
Menurut kajian, sikap cerewet adalah salah satu punca yang menyebabkan rumah tangga tidak bahagia. Isteri yang cerewet hanya nampak yang cacat, busuk, kurang, pahit dan yang hal-hal yang negatif sahaja. Sedikit tersilap, boleh menjadi punca kemarahan yang berjela-jela dan sukar diredakan. Ada sahaja yang tidak kena kerana dia memang mencari yang “tidak kena”. Dia sering berjaya mencari “nila yang setitik” untuk merosakkan susu yang sebelanga.
Tindakan suka melaknat dan tidak membesarkan pemberian suami ialah penyebab utama kebinasaan kaum wanita. Namun itu bukan bererti suami harus berlepas tangan dan berasa selamat dengan autoriti serta haknya sebagai suami. Si suami harus ingat jika isteri berterusan dalam keadaan begitu dia juga tidak selamat. Mengapa? Dia wajib mendidik dan menyelamatkannya. Isteri yang baik akan lebih mudah masuk ke dalam syurga sekalipun suaminya jahat, tetapi suami yang baik sangat sukar masuk ke syurga jika isterinya jahat.

Selamatkan Isterimu
Di bahu para suamilah letaknya tanggungjawab menyelamatkan isteri yang suka melaknat dan tidak bersyukur itu. Selain istiqamah mendidik dan memberi peringatan, si suami harus tidak jemu-jemu mendoakan isteri yang sebegitu. Dan yang paling penting bantulah mereka agar sering bersedekah dan bersedekahlah bagi pihak mereka. Jangan hanya mengeluh dan memendam rasa tetapi berusahalah memperbaiki keadaan dengan tindakan-tindakan yang lebih konstruktif dan produktif.

Bagi suami yang pemberang pula ingat, jangan lawan api dengan api… nanti rumah tangga terbakar dan cinta akan terpadam. Tidak semua leteran kerana kebencian, tetapi kekadang lebih kepada luahan. Justeru bersabarlah pada sesetengah leteran yang hakikatnya hanya satu rintihan dan pengaduan.
Contohi Sayidina Umar al-Khattab yang rela “menelinga” dan berdiam diri dengan leteran isterinya lantaran menghargai kesusahan isterinya yang keletihan menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Padahal Umar di luar rumah bukan sahaja digeruni oleh musuh-musuhnya, bahkan syaitan sekalipun tidak akan lalu di tempat dia lalu! Sebagai suami, Umar sedar bahawa bukan semua leteran itu satu kebejatan tetapi banyak antaranya hanya satu luahan cinta daripada kekasih yang keletihan!

Jadi didiklah para isteri agar selalu dan sering bersedekah. Bersedekah itu bukan sahaja dengan harta tetapi dengan tenaga, meluangkan masa dan tenaga ataupun sekadar memberi senyuman. Itu ialah saranan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri untuk tidak tergolong dalam gerombolan majoriti wanita yang akan dihumban ke neraka. Carilah ruang dan peluang untuk memberi sedekah kepada anak-anak, suami, jiran tetangga, kaum kerabat, mentua, saudara dan lain-lain anggota masyarakat.

Dalam sejarah hidup wanita-wanita solehah kita akan lihat bagaimana mereka sangat melazimi cara hidup yang mudah bersedekah ini. Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Zainab dan lain-lain Umahat al-Mukminin ialah wanita yang terkenal banyak bersedekah. Ini adalah satu lagi isyarat untuk wanita-wanita selepas generasi mereka dan khususnya generasi kini agar bersedekah untuk menyelamatkan ketelanjuran lidah yang berbisa dan hati yang tidak membesarkan jasa.

Bersedekahlah kerana cinta. Si isteri bersedekah kerana cintanya kepada diri sendiri yang sentiasa terdedah kepada kejahatan lidah dan hati. Si suami bersedekah kerana cintakan isteri agar terselamat daripada neraka. Insya-Allah, Allah akan “menyedekahkan” mereka berdua dengan cinta-Nya. Dan dengan sedekah cinta itu mereka akan bercinta hingga ke syurga!

Tuesday, August 24, 2010

Dosa gugur apabila suami, isteri bersalam

Dosa gugur apabila suami, isteri bersalam RASULULLAH saw bersabda, yang
bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia
dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira
kepada suaminya dan memohon kerelaannya."

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana
senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki
suami ketika pulang dalam keletihan.

Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan
menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga
isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan
daripada suami.

Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan suami. Justeru, apabila
suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat
dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf,walaupun
isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan
isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua.

Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan
ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada
orang tua.

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri.
Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya
terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam
rumahtangga.
Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri
yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami.

Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk
seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung- burung di udara,
ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan
suaminya."

Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari
keredhaan Allah melalui keredhaan suami.
======================================================================
= Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir
kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan
dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang memiliki mu."

Thursday, August 19, 2010

Gurindam 13 Resolusi....

Gurindam 13 resolusi

Alamak MCA buat hal lagi
Kali ini dengan 13 resolusi
Kuota 30 peratus minta dihapusi
Sekolah Cina hendak ditambah lagi

Minyak dan Gas juga minta dibukakan

Dari huluan sehingga hiliran

Kononnya industri sudah tinggi kedudukan

Sedangkan Melayu masih ketinggalan

GLC juga jadi sasaran

Permintaannya yang bukan-bukan

Ke dalam Lembaga Pengarah perlu dimuatkan

Bukan bumiputera demi kesaksamaan

Di sektor swasta tidak pula dibangkitkan

Melayu dilantik sebagai perhiasan

Kalau yang bekerja peluang disisihkan

Kepada yang memohon Mandarin diperlukan

Satu lagi tuntutan tentang liberalisasi

Apa yang ada tidak mencukupi

Mana bidang yang belum dibuka lagi

Patut dibuka jangan tangguh-tangguh lagi

Tender juga harus terbuka

Walaupun bahan binaan dah kuasa mereka

Projek mereka tak mahu bagi kita

Lama-lama isi ke dia, kuah ke kita

Bila biasiswa diberikan kepada semua 9A

Gembira mereka tidak terkata

Mereka lupa beza pelajar

di bandar dengan di desa

Alamat yang di kampung

ketinggalanlah nampaknya

Jangan kita nak tolak tepi

Amaran MCA nak kerjasama dengan DAP

Jangan-jangan nak ajak juga PAP

Sebab mereka tahu

perpaduan UMNO-Pas tak boleh jadi

Kadang-kadang kita pun hairan

Dalam semua bidang Melayu ketinggalan

Rancangan Malaysia pertama

hingga kesembilan

Tidak kurang satu trilion sudah dibelanjakan

Cuba kita tanya siapa yang menguasai

kekayaan

Sejak 45 tahun Rancangan Malaysia

diperkenalkan

Bumiputera hanya miliki 21.9

Itu tak kira hartanah dan tabung simpanan

Ada yang kata FDI jatuh pasal DEB

Sedangkan tiada perubahan dalam industri

Mesin lama dipakai lagi

Sedangkan orang dah pergi ke teknologi tinggi

80 peratus tenaga kerja lulusan SPM

Yang mahir hanya suku bahagian

Sektor swasta juga buat kesalahan

Tidak ada rancangan latihan kemahiran

Sepuluh tahun kita tidur lena

Sejak berlakunya krisis kewangan Asia

Struktur ekonomi tidak disusun semula

Sekarang baru nak buat semua

Generasi muda pula sukar dipengaruhi

Mereka punyai pendirian sendiri

Ramai yang belajar di luar negeri

Yang tiris, bocor, rasuah semua diketahui

Walaupun dah hilang dua pertiga

Perubahan tidak lagi punyai masa

Pembangkang pun dah naik besar kepala

Apa nak tunggu hilang semua?

Walaupun MCA macam-macam retoriknya

Hanya 9 peratus masyarakat Cina yang terima

Soi Lek tak peduli apa ‘Merdeka Center’ kata

Kepada kerajaan dia akan sondol aje.


nukilan,

Dato’ Salleh Majid

Kuala Lumpur


p/s: terima kasih dato'...pinjam nukilan nie yea dr paper utusan 19/8/2010

Wednesday, August 11, 2010